Categories

Tuesday, July 21, 2009

Pertolongan Allah

Assalamualaikum,

Akhirnya dapat juga saya meneruskan penulisan blog ini setelah saya ber"kurung" agak lama..
Kesibukan + keculasan menjadi alasan kenapa saya lama tidak berblog..

Setelah cuti yang agak panjang, saya akan cuba gerakkan kembali blog ini dgn tujuan asal utk menerangkan mengenai Israel dan perancangan mereka.. tetapi pada kali ini saya agak tertarik utk membawa sepotong ayat utk menjadi pedoman bagi kita semua yang berada dalam perjuangan utk menegakkan agama Allah.

إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنْكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَى قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ

الأنفال:11

(Ingatlah) ketika kamu diliputi oleh perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman daripadanya (untuk menghapuskan perasaan cemas). Dan (Ingatlah) ketika Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengannya dan menghapuskan daripada kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak kakimu (di medan perjuangan)

Al-Anfal : 11

Ayat diatas memberi maksud dan hikmah yang dalam bagi kita selaku pejuang Allah di muka bumi ini. Kisah ini berlaku ketika Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ dan para para sahabat R.A berada dalam keadaan sebelum perang Badar. Ketika itu para sahabat diliputi oleh perasaan cemas yang amat sangat. Oleh kerana itu Allah telah menjadikan mereka mengantuk luar biasa. Dari segi bahasa perkataan يُغَشِّيكُم membawa makna غطىiaitu menutupi atau meliputi yang membawa maksud mengantuk yang tidak dapat dilawan. Sehingga ada sahabat yang ditugaskan untuk menjaga khemah telah terlucut pedang dari tangannya dan tertidur. Untuk mengetahui hikmah Allah member perasaan mengantuk itu, saya suka untuk memetik kata-kata Syed Qutb dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran.

Dalam menerangkan hikmah mengantuk ini, Syed Qutb membawa suatu perumpamaan dengan keadaan dirinya yang pada suatu ketika berada dalam keadaan yang cemas dan sempit, tiba-tiba dia berasa mengantuk dan tertidur beberapa minit. Apabila dia bangun daripada tidurnya, dia berasa seolah menjadi insan yang baru! Kekuatannya telah kembali dan hatinya menjadi tenang.

Kemudian Allah sebut lagi dalam ayat tersebut dimana Allah telah menurunkan air dari langit atau hujan, yang telah membersihkan mereka dan menghilangkan daripada mereka gangguan syaitan. Ibnu Kathir dalam tafsirnya telah menerangkan maksud “membersihkan” mereka adalah membersihkan mereka daripada hadas kecil dan hadas besar. Kerana seperti yang kita ketahui padang pasir merupakan suatu tempat yang airnya payah didapati. Melalui pembersihan zahir inilah terlindungnya mereka daripada gangguan syaitan.Kerana badan yang suci dari hadas besar dan kecil, menutup ruang bagi syaitan untuk membisikkan kepada kita bisikan yang menyesatkan. Bisikan syaitan akan membawa insane waswas dalam perbuatannya. Waswas ini turut dirasai oleh para sahabat dimana ketika itu mereka dalam keadaan berhadas dan waktu solat telah pun masuk. Maka timbullah waswas adakah boleh mereka solat tanpa berwudhu’? (Ketika itu tayammum belum lagi disyariatkan,tayammum disyariatkan dalam perang dengan bani Mustaliq). Maka dengan penurunan hujan bantuan daripada Allah, telah menghilangkan keraguan yang timbul dalam hati mereka.

Kesan daripada itu berlakulah apa yang disebut didalam ayat sebagai “Menguatkan hati”, kerana dengan tertutupnya godaan syaitan, hati menjadi utuh tanpa goyahan yang dilakukan oleh syaitan durjana. Seterusnya ayat tersebut membicarakan tapak kaki menjadi kukuh. Terdapat dua maksud yang hendak dibawa oleh ayat ini, iaitu:-

1) Pasir di padang pasir dalam keadaan kering, dalam keadaan biasanya agak sukar untuk dilalui kerana keadaannya yang jerlus, sekaligus memenatkan para sahabat. Setelah turunnya hujan, keadaan pasir yang lembab, mengukuhkan keadaan jalan dan memudahkan perjalanan sekaligus menghilangkan kepenatan yang ditimpa oleh sahabat.

2) Keadaan hati mereka iaitu menjadi tetap pendirian.

Ayat ini sesuai dengan keadaan kita selaku pejuang-pejuang agama Allah yang tidak akan terlepas daripada perasaan cemas dan penat. Ingatlah bahawa Allah sentiasa member pertolongan kepada hamba-hambaNYA yang diredhaiNYA. Kepada hamba-hambaNYA yang bersyukur Allah telah menyebut di dalam Al-Quran bahawa Dia akan memberikan rezekiNYA dari sumber yang mereka tidak sangka-sangkakan. Pengajaran seterusnya, adalah supaya kita sentiasa dalam keadaan berwudhu’ supaya syaitan tidak mendapat ruang untuk menyesatkan kita dengan bisikannya sekaligus membawa kita mengingati Allah S.W.T. Hati yang tenang adalah hati yang sentiasa ingat padaNYA. Wallahualam.

Rujukan:-

1) Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir

2) Fi Zilalil Quran

3) Tafsir pimpinan Rahman



No comments:

Post a Comment